
Saya telah diminta untuk mengulas tentang beberapa isu mutakhir negara oleh Saudara Zulfiqar Samsuri dalam projek survey blog RepublikKata. Saya berkira-kira bahawa ini suatu inisiatif yang baik dalam mendapatkan ulasan masyarakat terhadap isu-isu semasa yang penting buat negara tercinta! Syabas! Saya ikuti laporan-laporan akhbar setiap hari berkenaan isu-isu yang saudara timbulkan dengan dekat. Ulasan saya masih belum diterbitkan, tetapi saudara-saudara boleh membacanya dibawah.
1. Pulau Batu Putih
Masalah utamanya adalah kelalaian pihak kerajaan di era Mahathir untuk mengambil tindakan. Isu tersebut hanya berlegar dikalangan pemimpin tertinggi di bahagian-bahagian tertentu. Rakyat tidak diberikan pendedahan dengan baik. Akibatnya, pihak pembangkang tidak mampu untuk berikan tekanan membina kepada pihak kerajaan. Maka tidak hairanlah apabila pulau tersebut jatuh ketangan Singapura. Dimanakah prinsip mengambil berat dan mengambil perhatian apabila kita mengaku bahawa pulau tersebut berada dibawah kedaulatan dan lindungan negara kita? Kerajaan tidak harus bersikap apologis, dengan mengeluarkan kenyataan ‘menang-menang’ kerana ianya melambangkan kita sebagai bangsa yang mudah diperlekehkan!
2. Ada kemungkinankah Anwar menjadikan Ezam sebagai landasan untuk masuk UMNO?
Sekalipun Anwar menginginkan untuk Ezam menjadi espionage untuk membuka pintu gerbang kepadanya untuk kembali kedalam UMNO, saya tidak fikir itu akan terjadi. Pertamanya, UMNO kini telah menjadi suatu parti yang lebih bersifat kritikal berbanding dahulu. Sebarang isu penting akan dipertimbang dalam mesyuarat MT, dan saya tidak fikir MT UMNO akan membenarkan kemasukan Anwar. Keduanya, barisan Pemuda UMNO juga turut tidak ketinggalan dengan menyatakan pendapat mereka dengan lantang. Perwatakan matang Mukhriz semakin terserlah, dan pengaruhnya dalam Pemuda semakin meningkat. Amat mustahil untuk Anwar meraih sokongan daripada pasukan Mukhriz. Ketiga, umur Anwar yang sudah mencecah 60 tahun pastinya menghalang dirinya untuk menjadi Perdana Menteri dibawah UMNO. UMNO sudah mempunyai ‘road-map’, tentang siapakah yang wajar menjadi Presidennya untuk 20 tahun yang akan datang! Maka saya berpendapat bahawa Ezam mungkin diutuskan untuk membuka ruang bagi Anwar, tetapi ianya suatu jalan yang amat sukar dibuka.
3. Betulkah kerajaan prihatin dengan rakyat dalam kes Bandar Mahkota Cheras?
Jika yang dimaksudkan adalah kerajaan negeri Selangor, dan sekiranya fakta-fakta yang dikemukakan oleh akhbar-akhbar itu benar, maka saya berpendapat bahawa mereka serius dalam menangani masalah GS-BMC. YB Khalid telah buat kenyataan bahawa EGM GS akan diadakan tidak lama lagi, dan wakil daripada kerajaan negeri akan memastikan pihak syarikat akan mengambil tindakan yang sewajarnya, mengikut hasrat kerajaan dan rakyat negeri Selangor, kerana kerajaan negeri mempunyai saham kira-kira 5 peratus melalui syarikat luarnya. YB Nik Nazmi berkata pihak kerajaan negeri akan mengambil nasihat undang-undang dalam menyelesaikan masalah ini. Rakyat Selangor akan menjadikan isu GS-BMC sebagai salah satu kayu ukur kredibiliti PR dalam mentadbir, kerana mereka dijanjikan dengan khidmat yang terbaik daripada PR. Rakyat berhak untuk menundukkan PR didalam Pilihanraya ke-13 dan kembali memilih BN, walaupun saya merasakan itu merupakan tindakan yang tidak wajar.
4. Perlukah Ezam melalui MT untuk masuk UMNO?
Perlu. Pertama, dalam perlembagaan mana-mana parti, keahlian seseorang itu perlu mendapatkan kelulusan daripada MT masing-masing. Peruntukan ini nampak tidak logik bahkan melecehkan! Tetapi disinilah letaknya hikmah didalam politik. Peruntukan ini digunakan untuk menapis mereka yang dikhuatiri mempunyai agenda yang tidak selari dengan aspirasi parti. Kedua, sekiranya Ezam benar-benar ingin membuktikan bahawa dia berpegang dengan prinsip UMNO, maka dia seharusnya berusaha meraih perhatian dan sokongan ahli-ahli MT, kerana MT terdiri daripada orang-orang lama, berpengaruh dan berpengalaman.
5. Pengharaman Islam Hadhari di Selangor dan Penang, adakah wajar?
Islam Hadhari jelas merupakan suatu pendekatan politik untuk meraih sokongan masyarakat melayu muslim. Maka tidak hairanlah pihak kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang untuk menggunakan pendekatan politik untuk menyerang balas konsep politik ini. Hakikatnya, program-program yang dianjurkan atas nama Islam perlu untuk digalakkan dan diperhebat disemua peringkat, kerana program-program seperti ini mampu untuk membangunkan jiwa dan menggerakkan wibawa rakyat untuk lebih berdaya saing. Masalahnya ialah apabila kita bermain dengan perkataan-perkataan dengan pakej-pakej tertentu untuk tujuan politik. Sudah pasti pihak kerajaan BN harus menerima padahnya.
6. Bagaimana prestrasi wakil rakyat ditempat anda dan jika anda diperintah dibawah kerajan Pakatan Rakyat bagaimana juga prestasi kerajaan Pakatan?
Saya sepatutnya mengundi di kawasan Petaling Jaya/Subang Jaya, tetapi saya tidak mampu berbuat demikian atas factor geografi. Saya tahu bahawa wakil rakyat yang dipilih adalah dari DAP, tetapi saya tidak mengenali dan tidak mengetahui latar belakang beliau.
Sekiranya saya dan rakan-rakan berada dibawah pemerintahan kerajaan PR baik diperingkat negeri atau kerajaan pusat, sudah pasti kerajaan PR akan berusaha untuk menjadi suatu alternative yang lebih baik daripada BN, kerana rakyat telah meletakkan kepercayaan dan kayu ukur yang tinggi kepada PR. Keduanya, saya melihat bahawa factor penyatuan didalam PR adalah lebih unik dan baik berbanding didalam BN. Didalam BN, suatu parti (UMNO) menjadi parti utama dan menaungi dan mendominasi parti-parti politik yang lain. Maka wujudnya hegemoni UMNO didalam BN dalam memerintah kerajaan selama 50 tahun sejak merdeka. Pendekatan tersebut perlu diubah. PR menampakkan suatu budaya politik yang lebih matang. PAS, PKR dan DAP berada dipentas yang sama rata, dan meskipun mereka mempunyai ideologi-ideologi yang berbeza, tetapi inilah hikmahnya. Perbincangan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat akan menjadi lebih dinamik dan berterusan. Inilah budaya politik negara moden, dimana setiap parti komponen memainkan peranan yang penting, dan tiada suatu parti mendominasi parti-parti yang lain. Maka saya berpendapat bahawa PR mampu untuk memberikan prestasi yang baik untuk memerintah baik kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat, sekiranya diberi peluang.